Malang Tidak Berbau

Gambar-gambar ini dirakamkan pada pukul 7.15 malam dalam suasana gelap dan hujan masih belum berhenti:-







Antenna astro turut menjadi mangsa




Lihatlah batang pokok yang menghempap bumbung bilik kami dan dahannya yang besar ada di atas bahagian tengah bumbung rumah (tidak kelihatan di dalam gambar)


Penyaman Udara bilik kami tertanggal, paipnya rosak dan ianya perlu diperbaiki. Mujurlah dinding rumah dan tingkap bilik tidak pecah kerana bumbung rumah dapat menahan batang pokok tersebut daripada mengenainya

Eja di dalam rumah yang gelap-gelita masih sempat tersenyum dan memberikan pose terbaik apabila kamera diacukan kepadanya


Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja walaupun kita di rumah. Inilah yang berlaku petang semalam. Tatkala kami pulang dari tempat kerja, keadaan halaman rumah bertaburan dengan daun-daun dan ranting-ranting pokok. Anteng, eja dan bibik terjerit-terjerit memberitahu rumah 'blackout'. Mulanya kami ingat itu perkara biasa yang disebabkan oleh petir yang kuat menyebabkan bekalan elektrik di kawasan kediaman kami terputus. Tetapi sangkaan kami meleset.
Cerita sebenar adalah sebagaimana berikut (sebagaimana diceritakan oleh bibik dan anteng. Oh ya, eja turut sama bercerita walaupun bahasa yang digunakan olehnya hanya difahami oleh rakan-rakan sebaya dengannya sahaja...) :-
Kejadian ribut dan hujan lebat disertakan dengan petir sambar-menyambar telah menyambar sebatang pokok besar di belakang rumah kami mengakibatkan pokok besar itu tumbang dan menghempap bumbung rumah. Eja, anteng dan bibik ada di rumah waktu kejadian tersebut berlaku. Mereka ketakutan dan terperanjat kerana bunyi yang dihasilkan begitu kuat dan menggerunkan. Bibik cuba mententeramkan eja dan anteng. Mujurlah tiada sesiapa yang cedera, alhamdulillah, syukur kepada Allah Yang Maha Esa. Akibat daripada kejadian tersebut, bilik kami dipenuhi oleh air hujan, habis tilam dan permaidani-permaidani basah kuyup. Bumbung rumah bocor. Paling teruk lagi terpaksa bergelap sepanjang malam. Anak-anak resah sebab kepanasan dengan suasana sekeliling rumah yang gelap-gelita.
Pada awalnya, kami bercadang untuk bermalam di hotel kerana kasihankan eja dan anteng. Tetapi, berita ini sampai ke pengetahuan salah seorang saudara kami yang bersungguh-sungguh menyuruh kami bermalam di rumahnya. Dalam keadaan agak terpaksa kerana tidak mahu mengecilkan hatinya, akhirnya, lebih kurang jam 10.30 malam kami mengangkut barang-barang keperluan dan sedikit pakaian berpindah ke rumahnya dan bermalam di sana. Mujurlah masih ada yang simpati terhadap nasib kami. Walaubagaimanapun, sepanjang malam kami tidak dapat melelapkan mata dan eja asyik menangis kerana kurang selesa bermalam di rumah orang dan mungkin agak asing baginya dan mungkin juga trauma yang dihadapinya siang tadi.
Hari ini, rumah kami dikunjungi oleh ramai orang, sebenarnya sejak dari petang semalam lagi jiran-jiran terdekat datang melawat. Hari ini pekerja-pekerja dari Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Kerja Raya sibuk menjalankan tugas-tugas mereka untuk membersihkan kawasan kejadian, menyambung semula bekalan elektrik yang terputus dan membaikpulih bumbung rumah yang rosak agar kami boleh berteduh di rumah sendiri dan tidak perlu untuk menumpang di rumah orang lain. Sedihnya...

Post a Comment

0 Comments