Berpada-pada Main Mercun Dan Bunga Api



Pulang dari menghantar Kopi Badang malam tadi, jiran berdekatan sibuk main bunga api. Berdentam-dentum bunyinya. Dah tengah-tengah malam anak-anak kecil ramai yang sudah melelapkan mata tiba-tiba terjaga kerana bunyi bising dari mercun dan bunga api tersebut.

Papa bukanlah anti main mercun atau bunga api tetapi berpada-pada lah. Rasanya tidak perlu kut membakar di tengah-tengah malam sedang anak-anak kecil sedang lena diulit mimpi. Bila mereka telah terjaga, sudahnya menangis dan ibubapa juga yang menjadi mangsa untuk memujuk mereka tidur semula. Jika bernasib baik mereka akan tidur semula namun jika nasib tidak menyebelahi mereka, anak-anak kecil dan bayi terus meragam sehingga ke pagi. Kasihan ibubapa yang tidak cukup waktu tidur dan bekerja keesokannya.

Kadangkala terasa budaya membakar mercun dan bunga api di bulan Syawal ni adalah terlalu terikut-ikut dengan budaya Tahun Baru Cina atau perayaan lain. Seakan sudah menjadi kemestian pula untuk membakar mercun dan bunga api. Semasa Papa pulang ke kampung di malam Aidilfitri tuhari, jiran sebelah belakang rumah main mercun yang bunyinya terlalu kuat dan bising. Waktu tu telah melebihi pukul 1 pagi. Bukan setakat pukul 1 sahaja malahan ianya berlarutan sehingga ke pukul 3 hingga 4 pagi. Kasihan anak-anak kecil tidak dapat tidur dan berehat malam tersebut.

Kepada para pembaca yang suka dan gemar bermain bunga api dan mercun yang bunyinya kuat sangat tu, jika anda mempunyai perasaan dan hati perut, selepas ini tolong lah fikirkan apa masalah yang jiran-jiran anda alami dengan kelakuan anda tersebut. Sekian, terima kasih.
Dikuasakan oleh Blogger.