Dugaan Di Akhir Ramadhan 2017


Pada hari terakhir Ramadhan, semasa kami dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri tempoh hari, ketika berhenti di lampu isyarat di Pekan Nanas, secara tiba-tiba sebuah kenderaan (BMW) yang datang dari arah belakang melanggar kereta kami. Kaget sebentar sebab berlaku secara mengejut. Namun dengan tenang Papa memandu ke sebelah kiri bahu jalan dan mencari tempat yang sesuai untuk berhenti. Pemandu BMW tersebut pun turut serta meletakkan kenderaannya bersebelahan dengan kereta kami. Mereka satu keluarga Melayu yang hendak pulang ke kampung untuk menyambut Syawal juga.

Kemudian Papa keluar dari kereta dan begitu juga pemandu BMW tersebut. Dia terus menghulurkan tangan memohon maaf kerana tidak sengaja melanggar kenderaan kami. Katanya dia tidak perasan kenderaannya masih bergerak ketika berhenti di lampu isyarat tersebut. Pada pandangan Papa ini mungkin disebabkan konsentrasinya yang tidak fokus kepada pemanduan disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti berbual di dalam kenderaan atau pun sibuk melihat 'handphone'.

Papa terus menuju ke belakang kereta untuk melihat kerosakan yang dialami. Aduhai, 'rear bumper' dah rebeh ke bawah. Walaupun sedih tapi Papa tetap tenangkan fikiran dan minda lantas Papa bertanya apa tindakan seterusnya. Kemudian pemandu BMW tersebut mengeluarkan kad perniagaannya dan kemudian mengajak kami ke kedainya yang terletak di Bandar Pontian yang jaraknya kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, kami sampai di kedainya. Rupa-rupanya beliau mempunyai kedai tayar. Setiba di kedai, beliau lantas cuba memperbaiki kerosakan tetapi tidak cukup 'clip' katanya untuk mengikat 'bumper' tersebut. Hari pun dah lewat petang, ditambah pula perjalanan kami masih jauh lagi. Mereka juga bergegas untuk pulang ke kampung. Akhirnya mana termampu sahaja lah yang dibuat. Ikat lebih kurang asalkan 'bumper' tu tidak jatuh. Tapi tidak sempurna sangat keadaannya. Beliau menyuruh kami kembali semula ke kedainya selepas Hari Raya untuk baiki.

Selepas masing-masing bersalaman, kami pun meneruskan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman. Walaupun agak sedih namun kami tetap bersyukur kerana tiada melibatkan kecederaan. Kata orang, harta boleh dicari, nyawa tidak boleh ditukar ganti.
Dikuasakan oleh Blogger.