Menu Wajib Rumah Terbuka Di Johor

Semalam Papa, Mommy dan Eyja pergi beraya ke rumah terbuka kawan-kawan Mommy dan kawan Eyja. Kami keluar rumah selepas Zohor. Destinasi pertama di rumah Aunty Aida, kawan Mommy. Rumah Aunty Aida terletak di Bandar Seri Alam. Majlis bermula pukul 2.00 petang. Kami sampai lebih kurang pukul 2.15 petang. Menu raya di rumah Aunty Aida ialah lontong kering dan basah yang dihidangkan bersama rendang daging dan kari ayam. Ada juga roti jala dan biskut dan kuih raya. Puding jagung sebagai pencuci mulut dan ada juga jambu batu cicah asam boi.

Lontong Kering

Lontong Basah
Jambu Batu letak Asam Boi

Selesai berhari raya di rumah Aunty Aida, lebih kurang 1 jam kami habiskan masa di situ, kami pun meneruskan perjalanan ke rumah kedua iaitu rumah Aunty Yan. Aunty Yan dan Aunty Aida merupakan bekas rakan sekerja Mommy suatu ketika dahulu.

Rumah Aunty Yan terletak di Taman Scientex, Pasir Gudang, Jarak antara rumah Aunty Yan dan Aunty Aida lebih kurang 30 km. Sampai di rumah Aunty Yan, kami dihidangkan dengan roti sardin dan samosa. Masa ni perut masih dipenuhi oleh makanan yang kami makan di rumah Aunty Aida lagi. Masih kenyang lagi. Kami hanya menjamah kuih raya sahaja dan sedikit roti sardin yang Aunty Yan masak.

Roti Sardin

Samosa

Lebih kurang 45 minit kami berada di rumah Aunty Yan, perjalanan seterusnya ke rumah kawan Mommy yang lain iaitu Raja Azman. Rumah kali ini terletak di JP Perdana, berdekatan dengan Taman Mount Austin. Jaraknya lebih 30 km dari rumah Aunty Yan. Di rumah Raja Azman kami dihidangkan roti jala dan soto ayam.

Roti Jala

Soto Ayam
Selepas 45 minit berada di rumah Raja Azman, kami meneruskan perjalanan ke rumah kawan Eyja pula yang terletak di Taman Mutiara Rini. Lokasi seterusnya ini agak jauh sedikit dari rumah Raja Azman. Masa perjalanan hampir satu jam juga kerana lalulintas agak sibuk di sebelah petang. Al-maklum, hari ini hari cuti, ramai yang ambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka dan ramai juga yang mengunjungi sanak-saudara dan rakan taulan pada hari cuti sebegini.

Di rumah kawan Eyja, waktu sudah menunjukkan pukul 6 petang. Ini pertama kali bertemu mesra dengan ibu bapa kawan Eyja. Ibunya seorang yang peramah manakala si ayah agak pendiam sedikit. Sepanjang pertemuan itu, ibunya tidak berhenti-henti bercerita. Orang peramah la katakan. Kami berbual seolah-olah macam sudah kenal lama, walhal baru pertama kali berjumpa. Dari pertanyaan asal dari mana, kerja di mana, kemudian berbual mengenai hal-hal pelajaran anak-anak. Mereka berdua ni satu kelas yang sama. Dari cerita prestasi pelajaran ke cerita fasal kelas tuition anak-anak. Kemudian cerita mengenai aktiviti anak-anak dan macam-macam lagi lah. Sedar tidak sedar perbualan berlanjutan hampir 40 minit. Kemudian baru lah teringat nak makan, hahaha!

Di rumah kawan Eyja ni, kami dihidangkan dengan mi hoon goreng, roti jala dan kuih bingka pisang. Kami hanya mampu menjamah sahaja sebab perut masing-masing sudah penuh. Tadi sudah makan bermacam-macam juadah di rumah-rumah yang kami telah kunjungi.

Hari pun telah hampir senja. Kami minta diri untuk pulang ke rumah. Kalau ikutkan, ada kawan Mommy yang hendak datang beraya ke rumah kami malam tu. Tapi diberitahu ditunda ke hari lain sebab ada tetamu hendak datang ke rumahnya.

Mi Hoon Goreng Putih

Bingka Pisang
Setelah selesai kami pun pulang ke rumah kerana sudah hampir Maghrib. Lagi pula esok di Johor merupakan hari persekolahan dan Papa pun kerja. Kami pulang ke rumah dengan perut yang sudah penuh. Malam sudah tidak perlu makan lagi...hehehe...

Post a Comment

0 Comments