Perpindahan Paksa Rela



Minggu ini memang minggu yang sangat-sangat memenatkan dan meletihkan. Kami diarahkan berpindah pejabat setelah 20 tahun di tempat kerja yang sama. Bayangkan lah hendak mengemas barang-barang yang telah 20 tahun tersimpan yang semakin hari semakin bertambah dari tahun ke tahun tu. Ini bukan perkara yang sangat mudah. Seminggu masa yang diberikan memang tidak mencukupi.



Bila dilihat keadaan pejabat setiap hari datang untuk kerja-kerja mengemas yang masih belum siap, bukan setakat badan terus letih longlai malahan kepala otak pun menjadi semakin berserabut. Itu tidak termasuk kerja-kerja seharian yang terpaksa dilangsaikan juga dalam keadaan pejabat yang seperti dilanggar garuda.




Sebenarnya sehingga ke saat ini, kami masih tidak memahami mengapakah perlunya kami berpindah ke pejabat lain sedangkan tiada sesiapa pun yang menghalau keluar dari pejabat. Pejabat yang sudah 20 tahun kami duduki ini pun sebenarnya sudah selesa. Apabila ditukar dengan Pengarah yang baru ini, tiba-tiba mengarahkan kami berpindah ke pejabat lain. Masalahnya, pejabat yang baru itu nanti ruang kerjanya lebih sempit dan kami yakin akan timbul masalah untuk meletakkan barang-barang dan fail-fail yang tidak boleh dilupuskan ini. Jika ditanya pendapat setiap rakan sekerja, masing-masing tidak bersetuju dengan perpindahan kami ini. Namun disebabkan kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang. Dengan rasa yang amat berat, kami terpaksa akur juga. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Rasa nak humban je barang-barang ni termasuk "......." ke luar tingkap. Adehhhh....

Post a Comment

0 Comments