Peluang pendidikan vokasional untuk murid peringkat menengah di Akademi Vokasional McDonald’s




McDonald’s Malaysia sokong agenda kerajaan mengarusperdanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di kalangan belia


McDonald's Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) untuk murid peringkat menengah lepasan Tingkatan 3, baru-baru ini. Melalui jalinan kerjasama strategik ini, murid kolej vokasional yang menyertai program yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia dalam bidang perkhidmatan makanan akan dianugerahkan dengan SKM Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia, setelah tamat program.

Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) untuk murid kolej vokasional akan melibatkan pengambilan kumpulan rintis seramai 59 murid baharu. McDonald’s Malaysia dan Kolej Vokasional ERT Setapak telah berganding bahu menjalankan taklimat terbuka kepada murid dan ibu bapa baru-baru ini. Sambutan daripada para ibubapa dan murid-murid adalah amat menggalakkan.  Buat masa ini, Kolej Vokasional ERT Setapak merupakan satu-satunya kolej vokasional yang menawarkan program SLDN McDonald’s ini kepada belia lepasan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang berminat dalam bidang perkhidmatan makanan. Program ini akan ditawarkan secara berperingkat di kolej-kolej vokasional terpilih di seluruh negara.




Bagi pihak McDonald’s Malaysia, kami amat gembira dan berbangga kerana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) telah memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Akademi Vokasional McDonald’s untuk menawarkan program pembelajaran berbentuk kemahiran kepada para murid-murid kolej vokasional. Melalui program yang kami sediakan ini, ia mampu memberi lebih ramai golongan belia peluang untuk memenuhi potensi diri mereka, mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dan membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Dengan standard dan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa terbaik yang kami miliki, ini merupakan kelebihan dan kelainan yang ingin kami ketengahkan kepada para belia. Kerjasama strategik ini menyuntik semangat McDonald’s Malaysia sebagai sebuah syarikat global yang mempunyai reputasi kukuh dalam industri perkhidmatan makanan, untuk terus memainkan peranan dalam menyokong agenda kerajaan ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing. 
Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna bagi McDonald’s Malaysia, dimana ia menunjukkan bahawa kami mampu menjadi platform atau asas untuk golongan belia di Malaysia membina kerjaya yang bermakna. Atas saranan pihak Kementerian juga, kami turut membantu meningkatkan kemahiran tenaga pengajar di kolej-kolej vokasional melalui program Train the Trainers kami
(Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia)



Murid-murid kolej vokasional yang mengikuti program ini bakal ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, termasuklah pemberian elaun bulanan RM1,200, tempat tinggal, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma. Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan RM30,000 untuk seorang murid. Setelah tamat program, dengan SKM Tahap 3 yang diperoleh, mereka layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini atau menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, kerjasama dengan McDonald’s Malaysia merupakan satu inisiatif positif ke arah menyediakan akses kepada pendidikan alternatif untuk peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas kepada murid berusia 15+ tahun mengikuti pendidikan dan latihan teknikal vokasional berkualiti merentas kementerian dan agensi. Dalam menghadapi era pasca COVID-19, kerjasama institusi pendidikan dan pihak industri seperti ini perlu dipergiat ke arah membangunkan modal insan yang holistik dan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara keseluruhannya. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui BPLTV akan terus memartabatkan TVET bagi mendokong hasrat kerajaan dalam memacu pembangunan tenaga mahir tempatan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa. Inisiatif ini juga dilihat dapat memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional melalui program SLDN sedia ada yang ditawarkan di 15 KV merangkumi 26 bidang dengan bilangan pelajar seramai 502 orang melalui kerjasama industri dalam negara di samping menggalakkan lebih banyak pemain industri untuk tampil ke hadapan.
Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia


Selain program yang ditawarkan kepada murid peringkat menengah di kolej vokasional ini, McDonald’s Malaysia mempunyai satu lagi program vokasional sedia ada yang ditawarkan kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program Perantis Vokasional McDonald’s yang diperkenalkan pada tahun 2018 merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah. Program ini juga merupakan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang telah diperkenalkan Kementerian. Sehingga kini, seramai 49 graduan telah berjaya menamatkan program ini sementara 1,200 belia sedang mengikuti program ini.



#mcd #mcDonalds #guruyaya

Post a Comment

0 Comments