LEBIH RM 540,000 UNTUK RAKYAT KELANTAN DARIPADA McDONALD'S MALAYSIA



Selaras dengan matlamat McDonald's Malaysia yang ingin memberikan impak positif terhadap masyarakat di setiap lokasi operasinya, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan di bawah Program Komuniti McDonald's Malaysia.

McDonald's Malaysia telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM 545,000 kepada rakyat Kelantan ketika pembukaan restoran terbaharunya iaitu McDonald's Pandu-Lalu Pasir Pekan pada 26 November 2019. Antara inisiatif-inisiatif kemasyarakatan yang diumumkan di bawah Program Komuniti Peringkat Negeri Kelantan iaitu pembayaran zakat perniagaan McDonald's, perlantikan belia-belia dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyertai SLDN McDonald's dan juga penyerahan pek "Kembali Ke Sekolah" kepada kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Haji Ahmad Bin Yakob menyatakan;

Program Komuniti yang dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia ini dilihat sebagai sokongan ke arah membentuk keharmonian ekonomi dan sosial di Kelantan. Kita amat menitikberatkan keperluan rakyat bagi menjamin kemajuan negeri, memandangkan ia juga merupakan salah satu langkah ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat negeri ini. Penglibatan syarikat korporat seperti McDonald's bersama kerajaan negeri ke arah kesejahteraan rakyat merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan dan wajar dicontohi.

Menurut kata Encik Azmir Jaafar selaku Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia merangkap Presiden RMHC Malaysia;

Kami komited membantu golongan masyarakat yang memerlukan di seluruh negara memandangkan ia merupakan nilai teras McDonald's Malaysia. Sokongan padu yang diberikan oleh pelbagai pihak membolehkan kami terus menjayakan inisiatif-inisiatif kemasyarakatan ini, seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ini. Kami juga berharap pembukaan restoran terbaharu di Kelantan ini mampu menjadi nilai tambah kearah merancakkan lagi ekonomi negeri khususnya melalui peluang pekerjaan dan pembangunan bakat melibatkan masyarakat setempat. Kami percaya dengan pertumbuhan perniagaan yang positif, bermakna lebih besar peluang kami untuk menyumbang kepada manfaat masyarakat secara menyeluruh.

AGIHAN ZAKAT PERNIAGAAN McDONALD'S MALAYSIA


Sejumlah RM 101,000.00 telah dikeluarkan oleh McDonald's Malaysia sebagai memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Kelantan untuk tahun 2019. McDonald's juga telah dianugerahkan Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan menjadikannya entiti perniagaan pertama yang menerima sijil pengiktirafan tersebut di Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Encik Azmir Jaafar, McDonald's Malaysia merupakan sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam dan telah mengeluarkan zakat dari semenjak tahun 2017 setelah diambil alih oleh Lionhorn Pte Ltd yang merupakan anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi.


INISIATIF PEKERJAAN UNTUK BELIA MELALUI SLDN McDONALD'S



Program ini merupakan sebahagian daripada Program Komuniti yang dianjurkan untuk golongan belia di kalangan golongan kurang berkemampuan. Program ini yang ditaja sepenuhnya dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD), Kementerian Sumber Manusia merupakan salah satu usaha McDonald's Malaysia bagi meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat bagi memupuk bakat baharu sejajar dengan agenda negara.

Ianya adalah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald's dalam bentuk program latihan berteraskan industri dan diadakan selama 18 bulan dengan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald's manakala 30 peratus lagi merupakan kelas teori di bilik darjah. Setiap pelatih akan diberikan elaun sara hidup sebanyak RM 1,200.00 sebulan selain daripada faedah perubatan, insurans dan makanan secara percuma.

Apabila para pelatih telah lulus penilaian dan ujian akhir program, mereka layak untuk bekerja di restoran McDonald's. Setakat ini, seramai 650 orang pelatih sedang menjalani SLDN McDonald's.

Menurut kata Encik Azmir Jaafar;

Kami teruja untuk mengalu-alukan para belia dari negeri Kelantan untuk menyertai program latihan kami ini. Diharap melalui program ini, belia yang terpilih akan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri dan memulakan karier yang menjamin masa depan seterusnya meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing.

 PROGRAM "KEMBALI KE SEKOLAH"



Program ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Oktober yang lalu yang merupakan terbesar setakat ini dengan jumlah sumbangan mencecah RM 3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar di seluruh negara menerima pek "Kembali Ke Sekolah" menjelang tahun persekolahan 2020.

Program "Kembali Ke Sekolah" ini adalah inisiatif tahunan yang diterajui oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Lebih 1,400 kanak-kanak dari 48 sekolah di seluruh negeri Kelantan akan menerima pek "Kembali Ke Sekolah" pada tahun ini. Pek ini mengandungi satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sepasang stoking dan beg sekolah yang bernilai RM 100 setiap satu.

Pada tahun 2018, McDonald's Malaysia bersama-sama dengan RMHC Malaysia telah menyampaikan pek "Kembali Ke Sekolah" bernilai RM 1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah manakala sebanyak RM 1.2 juta telah disumbangkan kepada 6,000 pelajar pada tahun sebelumnya.

RMHC Malaysia adalah badan kebajikan pilihan McDonald's Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada 4 program utama untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia termasuk program "Kembali Ke Sekolah", Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald dan juga 'Gift of Smile'.

Rumah Ronald McDonald kedua telah dibuka pada Jun 2019 yang terletak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Ianya dapat menyediakan kemudahan penginapan sementara yang lengkap kepada keluarga pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di hospital berdekatan. Kemudahan ini dapat meringankan beban kewangan dengan kos penginapan yang amat berpatutan dengan harga RM 5 untuk satu malam.

Sebarang pertanyaan atau jika berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan RMHC Malaysia boleh hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia :

Tel : 03-7843 3388

Post a Comment

2 Comments