JOM TAKSIR ZAKAT BAYAR JUMLAH TEPAT HIDUP LEBIH BERKAT

 



Assalamualaikum semua. Sudahkah ANDA membayar zakat? Fuhh macam iklan la pulak kan. Ayat-ayat sebegini seringkali kita dengar dan lihat di mana-mana. Tidak kira lah sama ada di corong-corong radio, di kaca televisyen mahupun di media cetak, bahkan tidak ketinggalan di media-media sosial. Sungguh pun demikian masih ramai lagi di kalangan kita yang masih alpa akan kewajipan dalam menunaikan Rukun Islam ke-4 ini.

Jom kita ulangkaji serba sedikit berkenaan zakat.


APA ITU ZAKAT

Pengertian zakat dari segi syarak adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu kepada golongan tertentu apabila telah mencukupi syarat-syaratnya.

Dari segi bahasa mudahnya zakat bermaksud Bersih, Suci, Subur, Berkat dan Berkembang. Bersih dan suci bermaksud membersihkan harta kita dari hak orang lain dan mensucikan diri kita dari sifat bakhil, kedekut, dengki dan dendam terhadap orang lain.


SYARAT-SYARAT WAJIB MENUNAIKAN ZAKAT

1. Islam : syarat utama wajib mengeluarkan zakat adalah orang itu Islam.

2. Merdeka : pengeluar zakat merupakan seorang yang bukan hamba. Beliau mestilah seorang yang bebas mencari rezeki halal dan tidak dihalangi orang sesiapa.

3. Cukup Nisab : nisab merupakan kadar minima yang ditetapkan oleh Syarak untuk mewajibkan zakat. Kadar minima bagi zakat emas, pendapatan, wang simpanan dan saham adalah 85 gm emas atau lebih manakala kadar minima bagi zakat ternakan, tanaman, rikaz dan perak dinilai secara kadar nisab tersendiri.

4. Cukup Haul : Cukup tempoh setahun berdasarkan tarikh Hijrah (354/355 hari) harta tersebut dimiliki.


SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT

1. Niat

2. Memberi Milik (At-Tamlik)


KATEGORI ZAKAT

1. Zakat Fitrah : Merupakan Zakat Diri yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.


2. Zakat Harta :

Zakat Harta terbahagi kepada beberapa jenis zakat:-

a) Zakat Emas dan Perak

b) Zakat Tanaman

c) Zakat Ternakan

d) Zakat Perniagaan

e) Zakat Galian

f) Zakat Wang Simpanan

g) Zakat Saham

h) Zakat Pendapatan


ZAKAT PENDAPATAN

Untuk entri kali ini, PA nak ceritakan mengenai zakat pendapatan. Pendapatan atau gaji ialah bayaran yang dibuat atau diterima sebagai upah kerja atau perkhidmatan yang dilakukan mengikut masa tertentu termasuk elaun dan imbuhan daripada apa-apa pekerjaan dan perkhidmatan profesional.

Pendapatan terbahagi kepada:-

1. Hasil Penggajian dan Upah Tahunan : gaji, elaun, bonus, ganjaran, gratuiti dan keuntungan daripada saham pekerja.

2. Hasil Bebas dan Profesional Tahunan : keuntungan projek, perniagaan bermusim, komisyen takaful/unit trust, khidmat konsultansi, royalti buku/aktiviti seni, pembiayaan semula aset dan sebagainya.

3. Hasil al-Mustaghallat : pendapatan sewa rumah, sewa aset, sewa kenderaan, hasil pertanian dan hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya.

4. Hasil Pemberian atau Sumbangan : hibah, hadiah, saguhati, pencen pasangan, sedekah, pampasan, harta pusaka, mas kahwin (mahar) dan sebagainya.

Had al-Kifayah:-

Had al-Kifayah bermaksud kadar keperluan (kecukupan) iaitu kadar minima bagi keperluan asas dalam kehidupan seseorang. Secara ringkas ianya merujuk kepada suatu kadar keperluan asas minimum yang ditetapkan berdasarkan kos sara hidup semasa. Ianya juga digunakan untuk mengetahui kadar yang perlu dibantu bagi menepati kecukupan perbelanjaan asasi.

Penilaian yang dibuat di dalam menentukan Had Kifayah ini merangkumi 6 aspek keperluan asas berikut:

1. Perlindungan : Perbelanjaan bagi menyediakan perlindungan seisi rumah seperti sewa rumah, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

2. Makanan : Segala bahan makanan dan minuman yang dimakan oleh ahli rumah termasuk di luar rumah.

3. Pakaian : Segala bentuk pakaian yang digunakan seperti pakaian sekolah, kerja dan seumpamanya.

4. Perubatan : Segala bentuk perubatan yang diambil oleh ahli rumah seperti hospital awam, farmasi dan lain-lain yang berkaitan.

5. Pendidikan : Kos pendidikan ahli rumah seperti pengajian, buku dan lain-lain yang berkaitan.

6. Pengangkutan : Segala kos berbayar ahli rumah seperti kos tambang dan lain-lain berkaitan.

Jumlah pengiraan Had al_Kifayah ini akan dikira sebagai jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh pemohon. Ianya akan dibandingkan dengan pendapatan isi rumah pemohon. Jika pendapatan pemohon lebih rendah daripada jumlah pengiraan Had al-Kifayah maka pemohon adalah layak untuk menerima bantuan zakat.


Cara Mengira Zakat Pendapatan:




Cara mengira jumlah zakat pendapatan adalah dengan mengisi komponen Pendapatan di Bahagian A kemudian ditolak Had Kifayah di Bahagian B dan Bahagian C dan secara automatik akan dapat Jumlah di Bahagian D. Selepas itu boleh ditolakkan dengan jumlah simpanan tahunan semasa Tabung Haji sekiranya ada. Mudah je kan. Nak lebih mudah klik aje di sini : 

https://www.zakatselangor.com.my/zakat-pendapatan/


AGIHAN ZAKAT OLEH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS)

Pemohon-pemohon yang layak menerima zakat boleh membuat permohonan zakat dengan mengemukakan borang permohonan bantuan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor. Setiap permohonan yang diterima akan dinilai melalui tapisan haddul Kifayah dan kemudiannya maklumat tersebut akan dimasukkan ke dalam Sistem Agihan Zakat. Proses siasatan akan dilakukan bagi menentukan sama ada pemohon benar-benar layak untuk menerima bantuan zakat. Pemohon akan dikelaskan mengikut asnaf fakir atau miskin. Sekiranya pemohon adalah asnaf, maka bantuan zakat yang bersesuaian akan diberikan.

Antara bantuan yang sering dimohon oleh Asnaf adalah seperti berikut:-

1. Bantuan Perubatan - Fakir Miskin

2. Bantuan Sewa Rumah - Fakir Miskin

3. Bantuan Badan dan Persatuan - Fisabilillah

4. Bantuan Penerapan Nilai Islam - Fisabilillah

5. Bantuan Yuran Sekolah - Fakir Miskin

6. Bantuan Hutang Kehidupan - Gharimin

7. Bantuan Kewangan Bulanan - Fakir Miskin

8. Bantuan Makanan Bulanan - Fakir Miskin

9. Bantuan Bina dan Baikpulih Rumah - Fakir Miskin

Untuk muat turun borang-borang permohonan boleh klik : 

https://www.zakatselangor.com.my/agihan-zakat/permohonan-zakat/



JOM TAKSIR ZAKAT : SEMPURNAKAN ZAKATMU

Sempena Bulan Taksir Zakat, Lembaga Zakat Selangor mengajak umat Islam untuk membuat taksiran zakat. Kempen ini berlangsung bermula 15 Jun 2022 sehingga 31 Julai 2022. Tujuan dan objektifnya adalah untuk mendidik dan mengajak umat Islam khususnya di negeri Selangor mengira sendiri zakat dengan lebih mudah dan tepat. Selain daripada itu adalah untuk memberikan kesedaran terhadap taksiran jenis-jenis zakat harta. Ia juga diharapkan dapat membentuk sentimen minda masyarakat bagi membudayakan taksiran dan membayar zakat setiap tahun dan dapat menggalakan kaedah taksiran menyeluruh agar jumlah yang dizakatkan tersebut adalah lebih tepat.

Sepanjang tempoh ini, mereka yang berjaya membuat taksiran berpeluang untuk menebus baucar KFC di cawangan-cawangan LZS selagi stok masih ada. So, jangan lambat-lambat !!

Bagi mereka yang membayar zakat selepas membuat taksiran pula berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal Yamaha Lagenda 115Z FI atau hadiah-hadiah lain seperti Nintendo Switch OLED, Garmin Smart Watch dan 10 buah Galaxy Tab A8.

Untuk menebus Baucar KFC, anda hanya perlu layari http://jom.zakatselangor.com.my atau muat turun aplikasi mudah alih ZakatSelangor di Play Store atau App Store, daftar dan log masuk. Kemudian gunakan fungsi "Taksir" dan buat taksiran jenis-jenis zakat harta dan akhir sekali "Simpan Taksir Zakat". Kemudian Screenshot taksir zakat tersebut dan tunjukkan di mana-mana Cawangan LZS berdekatan.

Bagi menyertai Cabutan Pemenang Kempen Jom Taksir Zakat pula, cara yang sama seperti untuk menebus baucar KFC tetapi peserta hanya perlu membuat bayaran zakat harta di mana-mana saluran bayaran yang disediakan oleh LZS termasuk ejen-ejen LZS yang bertauliah.





Post a Comment

1 Comments

  1. Alhamdulillah, dah selesai bayar zakat. Korang pun jangan lupa tau ,☺️

    ReplyDelete